Sejarah Penubuhan

Sejarah Penubuhan UPPM
Community Development Centre (CDC) atau dikenali sebagai Pusat Kemajuan Masyarakat (PKM) ditubuhkan pada 8 Mei 1968, manakala Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) pula ditubuhkan pada tahun 1981. Kedua-dua organisasi ini kemudian disatukan pentadbirannya pada 1 jJun 1982 di bawah kawalan Jabatan Ketua Menteri Sabah.
Kewujudan UPKR ketika itu dikenali juga sebagai CDC adalah untuk membantu kerajaan negeri Sabah mengubah landskap iaitu sikap masyarakat luar bandar supaya ingin maju. Pada masa yang sama, UPKR menggariskan tiga langkah untuk dilaksanakan iaitu;
1) Sentiasa mendukung dan menyertai secara aktif dalam program pembangunan kerajaan, terutamanya dalam membantu para pemimpin untuk mengukuhkan kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada.
2) Mendorong dan menyelaras kegiatan/usaha-usaha bercorak pembangunan masyarakat di negeri ini.
3) Sebagai agensi kerajaan yang mengawasi pentadbiran JKKK / JKDB ketika itu.
Pada bulan Januari 1995, dengan penubuhan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), maka UPKR telah dipisahkan semula dengan Pusat Kemajuan Masyarakat (PKM). UPKR telah diletakkan di bawah Jabatan Ketua Menteri sementara Pusat Kemajuan Masyarakat (PKM) diserapkan ke dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Pada 1 September 1999, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dipindahkan dan diserapkan di bawah Jabatan Ketua Menteri di mana semua pengurusan pentadbiran dan pengurusan kakitangan Pemimpin Kemajuan Masyarakat, Pegawai Kemajuan Masyarakat, Penyelia Kemajuan Masyarakat Gred S17, Pembantu Tadbir Rendah Gred N11 dan Pembantu AM Rendah Gred N1, dikendalikan sendiri oleh UPKR dengan matlamat yang masih sama.
Pada April 2014, UPKR telah melalui proses penjenamaan semula, di mana nama UPKR telah ditukar kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dengan menggariskan pelan strategik baharu serta menerapkan visi dan misi termasuk mengemaskini gred perkhidmatan di Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).